Prinsip - Prinsip Rekaan dalam seni tampak.
Unsur seni dengan sendirinya tidak dapat membentuk sebuah karya yang baik. Ia perlu diorganisasikan mengikut prinsip- prinsip rekaan yang tertentu. Prinsip rekaan menjadikan sesuatu ahsil karya itu lengkap dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Seperti pembinaan rumah juga, ia tidak akan kelihatan menarik sekiranya dibina tanpa berpandukan kepada pelan yang diilhamkan oleh arkitek. Oleh itu dalam aktiviti berkarya, pelajar- pelajar akan menggunakan prinsip rekaan untuk mengolah unsur- unsur seni di dalamnya supaya menjadi suatu gubahan yang menarik. Pendek kata, prinsisp- prinsip rekaan merupakan tatacara untuk mengorganisasikan unsur- unsur seni supaya menjadi suatu hasil karya yang bermutu. Terdapat tujuh prinsip – prinsip rekaan iaitu pergerakan, imbangan, harmoni, kontra, penegasan, kepelbagaian dan kesatuan.
Pergerakan
Prinsip rekaan pergerakan ialah kesan tampak yang ditimbulkan daripada susunan unsur- unsur seni secara berulang- ulang atau berlapis- lapis. Tindakan demikian menimbulkan irama ataupun ilusi pergerakan dalam gubahan itu. Unsur pergerakan terdapat secara semula jadinya di alam sekeliling kita. Kesan ini dapat dilihat pada kejadian- kejadian alam sekeliling alam seperti lautan berombak, air terjun, dan hujan. Dalam seni tampak , kesan pergerakan boleh dihasilkan oleh unsur- unsur garisan, warna, jalinan, rupa, dan bentuk. Ia dapat diwujudkan apabila terdapat kesinambungan dari satu unsur ke unsur yang lain. Lukisan- lukisan komik dan kartun menggunakan garisan untuk menimbulkan ilusi pergerakan. Seterusnya warna juga dapat menimbulkan ilusi pergerakan. Misalnya apabila menggambarkan suasana ribut taufan, calitan- calitan berus yang menghasilkan pelbagai lapisan tona dan kroma berupaya menimbulkan ilusi pergerakan,
Selain itu, rupa tunggal yang tiada prinsip pergerakan. Tetapi sekiranya beberapa unsur rupa yang sama diulangi secara bertindan- tindan, ia akan menghasilkan kesan pergerakan. Dalam seni arca, pergerakan dapat diperhatikan pada arca mobail. Pergerakan dapat memecahkan monotomi dengan mewujudkan kepelbagaian dalam sesuatu gubahan itu. Susunan unsur- unsur seni tersebut menyebabkan gerakan mata mengikut dari satu bahagian ke bahagian yang lain secara berterusan. Perkara sedemikian menjadikan karya- karya itu sentiasa menarik untuk dilihat.
Imbangan
Prinsip rekaan yang kedua ialah imbangan iaitu keadaan yang sebanding atau tidak berat sebelah. Karya- karya 2D seperti lukisan dan catan mempunyai imbangan dari segi tampak. Reka letak tampak dalam reka bentuk grafik melibatkan penyusunan muka taip serta ilustrasi di dalam ruang yang disediakan supaya kelihatan seimbang. Karya- karya 3D seperti seni arca dan seni tembikar mempunyai imbangan fizikal dan tampak. Bentuk arca, misalnya haruslah seimbang supaya ia kukuh dan stabil. Imbangan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu imbangan simetri serta imbangan tidak simetri. Imbangan simetri boleh ditentukan dengan melukiskan satu garisan lurus di bahagian tengah raka bentuk itu. Jika kedua- dua bahagian reka bentuk itu adalah sama maka ia dikenali sebagai imbangan simetri. Sekiranya kedua- dua bahagian reka bentuk itu adalah berlainan maka ia dikenali sebagai imbangan tidak simetri.
Harmoni
Dalam seni tampak, harmoni didefinisikan sebagai gabungan unsur- unsur seni yang sesuai dalam sesuatu gubahan untuk melahirkan karya yang menyenangkan dari segi tampak. Ini bermakna sesebuah karya seni yang harmoni adalah menarik serta selesa untuk dilihat. Tidak dapat dinafikan bahawa harmoni mempunyai hubungan yang rapat dengan imbangan. Ini adalah kerana prinsip imbangan merupakan salah satu faktor yang penting untuk menghasilkan harmoni. Prinsip harmoni juga bertanggungjawab mewujudkan kesatuan dalam hasil karya.
Kontra
Kontra wujud apabila terdapat unsur yang bertentangan dalam sesuatu gubahan. Unsur yang bertentangan boleh terdiri daripada satu unit ataupun beberapa unit. Ia menimbulkan kesan yang bercanggah. Percanggahan di antara unsur- unsur di dalam gubahan inilah yang mewujudkan daya tarikan. Prinsip kontra digunakan meluasnya dalam seni grafik seperti poster dan iklan. Tujuan utamanya ialah menonjolkan sesuatu perkara yang dapat menarik perhatian ramai. Selain tu kontra digunakan untuk mewujudkan penegasan dan kepelbagaian. Dalam penegasan, kontra digunakan untuk menegaskan unsur penting dalam gubahan. Terdapat beberapa cara menghasilkan kontra. Penggunaan garisan yang bertentangan arah, jalinan yang berlainan, warna yang berlainan nila kromanya, rupa yang berlainan jenis ataupun bentuk yang berlainan saiz boleh menimbulkan kesan kontra.
Penegasan
Prinsip ini banyak diaplikasikan dalam bidang seni grafik dan pengiklanan. Penegasan menonjolkan satu idea ataupun tema di dalam sesuatu reka bentuk supaya ia menjadi daya tarikan utama. Cara ini dapat menumpukan orang terhadap mesej utama yang hendak disampaikan. Dalam komersial terdapat berbagai-bagai- bagai cara digunakan untuk menarik perhatian orang terhadap iklan dan promosi. Papan iklan yang berlampu neon menegaskan nama kedai, syarikat dan sebagainya. Terdapat berbagai-bagai cara untuk menegaskan sesuatu perkara dalam karya iaitu menggariskannya, mengotakkan atau membulatkannya, mewarnakan, mencondongkan, menukarkan saiz dan menggunakan jenis muka taip yang berlainan.
Kepelbagaian
Dengan menggunakan unsur- unsur seni atau idea- idea yang berbagai-bagai dalam sesuatu gubahan, prinsip kepelbagaian dapat dihasilkan. Kepelbagaian menjadikan sesuatu hasil karya iaitu kurang menjemukan serta lebih menarik dari segi tampak. Contoh- contoh prinsip kepelbagaian banyak didapati pada karya- karya iklan, mura, ilustrasi kulit majalah serta reka bentuk hasil tekstil. Prinsip kepelbagaian tidak harus digunakan secara keterlaluan dalam sesuatu gubahan. Semakin banyak unsur kepelbagaian dalam sesuatu karya, semakin sukar kesatuan dicapai. Dalam kata lain ia menimbulkan keadaan bercelaru yang merosakkan kesatuan dalam sesuatu hasil karya.
Kesatuan
Ia merupakan prinsip yang muktamad dalam semua reka bentuk. Setiap reka bentuk mempunyai beberapa komponen seni dalamnya. Misalnya mempunyai komponen seperti rupa muka taip, bentuk ilustrasi, warna , ruang, imbangan, serta harmoni. Kerjasama di antara kesemua komponen- komponen tersebut menyumbang ke arah satu gubahan visual yang menyeluruh iaitu pembentukan sebuah hasil karya yang menarik. Prinsip harmoni penting dalam melahirkan kesatuan pada sesuatu reka bentuk. Manakala prinsip kesatuan adalah menyeluruh iaitu menggabungjalinkan ke semua komponen seni yang berlainan dalam reka bentuk untuk menghasilkan suatu idea . sebagai kesimpulannya, bahawa sesuatu gubahan adalah terdiri daripada berbagai-bagai komponen maka kesatuan menggabungkan kesemua komponen untuk menjadi satu dan menyempurnakan gubahan itu.
No comments:
Post a Comment